Isnin, 22 Julai 2013

Lawatan ke Luar Negara



  Pada cuti sekolah bulan Jun yang lalu, saya telah pergi melancong ke Bali, Indonesia bersama ibu bapa saya dan keluarga kakak sulung saya. Kami melawat Bali selama tiga hari dua malam. Pengangkutan yang telah kami naiki ialah kapal terbang syarikat penerbangan Jetstar. Semasa berada di dalam kapal terbang tersebut, saya terasa mabuk, tetapi mujurlah perjalanannya tidak lama, iaitu selama dua jam sahaja.

  Apabila sampai di Bali, kami menaiki teksi ke Febris Hotel, iaitu sebuah hotel yang bertemakan resort tropikal. Setelah mendaftar masuk ke dalam hotel itu, kami pergi ke bilik masing-masing. Saya berkongsi bilik bersama ibu bapa saya manakala kakak sulung saya berkongsi bilik bersama suami dan anak kecilnya. Walau bagaimana pun, bilik-bilik kami mempunyai sebuah pintu yang membenarkan kami untuk masuk ke dalam bilik satu sama lain.
Bilik yang saya kongsi bersama ibu bapa saya

  

  Di Bali, kami sudah tentu melawati tempat-tempat yang menarik dan popular di situ. Kami telah pergi ke sebuah restoran yang terletak di atas sebuah bukit, dan apabila pelanggan melihat ke luar restoran itu,mereka dapat menikmati satu pemandangan yang menakjubkan. 
Restoran yang diletak di atas sebuah bukit

Kami juga pergi ke Tanah Lot, iaitu kuil buat orang Hindu yang tinggal atau hanya melawat Bali. 
                       
Tanah Lot
Pada hari terakhir, kami telah pergi ke pelbagai tempat beli-belah dan kedai-kedai di tepi jalan yang menjual barang untuk para pelancong seperti baju, kasut dan cenderahati-cenderahati yang kecil.
                   

  Selama berada di situ, kami sekeluarga telah membelanjakan sekurang-kurangnya $500 mata wang Singapura. Ini termasuk perbelanjaan makanan dan minuman di Bali, barang-barang yang dibeli di kedai runcit, duit perbelanjaan untuk perjalanan melalui teksi dan barang-barang lain seperti cenderahati buat rakan-rakan dan ahli keluarga kami di Singapura.

  Suatu peristiwa yang mencuit hati adalah apabila bapa saya sedang memilih baju untuk dibeli sebagai kenangan. Bapa saya berpusing-pusing di tempat pakaian selama lima belas minit kerana dia runsing baju fesyen apa yang dia mahu. Peristiwa ini sangat melucukan kerana bapa saya tidak pernah berperangai sebegini sebelum ini apabila memilih pakaian!

  Saya rasa bahawa percutian ini telah memberi saya banyak pengalaman baru seperti menaiki kapal terbang dan melihat kuil-kuil Hindu yang bersejarah. Saya juga telah mempelajari sedikit-sebanyak tentang budaya orang Bali dan juga untuk menghargai apa yang saya ada kerana di Bali, ada segolongan orang yang hidup mereka tidak semewah seperti penduduk di Singapura.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan